HUBUNGI KAMI

Saturday, 1 September 2018

BIAR IA MENJADI RAHSIA

Hujan renyai-renyai. Fikiran mula melayang-layang sambil melayan perasaan. Teringat sesuatu ketika dulu, saya pernah menilai orang tanpa meletak diri di tempat mereka. Timbul satu prasangka. hanya kerana mereka cuba merahsiakan sesuatu yang agak peribadi. Mungkin ramai pernah berpandangan begitu terhadap orang lain.

Sifat peribadi saya bukan seorang yang pakar dalam menipu atau jarang sekali menipu. Kecuali menipu untuk tujuan hiduran iaitu buat lawak atau buat kejutan. Ayat akan mula terputus-putus bila ingin menipu sedangkan saya seorang yang agak lantang berbicara. Mata juga mula tidak menentu dan tidak ingin bertentang mata. Ini merupakan reaksi-reaksi normal bagi seseorang yang mula cuba menipu.

Saya selalu tidak faham mengapa sesetengah orang perlu menipu atau merahsiakan sesuatu. Apakah motif sebenar. Tetapi kini saya mula faham pendirian mereka setelah saya sendiri menghadapi masalah yang sulit untuk dikongsikan. Saya mula merasai perbezaan maksud tipu, rahsia dan memendam rasa. Bukan semua perkara kita perlu dikongsikan dengan orang lain.  

Semua orang mempunyai hak untuk menyimpan rahsia sendiri. Hormatilah hak tersebut. Jangan kerana anda tidak mendapat maklumat tentang apa yang ditanya terus menuduh mereka seorang penipu. Mereka hanya menjaga hak mereka untuk tidak menyebarkan rahsia tersebut. Siapalah anda untuk menuduh mereka menipu. 

Dalam hal ini saya pecahkan manusia kepada 3 kategori:


  1. Bertanya sekadar ingin tahu tetapi tiada niat untuk membantu
  2. Mengambil berat dengan niat ingin berkongsi beban yang ditanggung
  3. Menyibuk untuk mengembangkan apa yang dicritakan kepada kumpulan yang suka mengumpat.
Kategori manakah anda? Harap ada keiklasan disebalik setiap tindakan anda. Elakkan dari niat bersembunyi kerana tindakan anda akan menambahkan parah di hati orang itu. Balik kepada situasi saya. Alasan saya tidak menceritakan semua benda yang orang lain tahu adalah kerana :
  1. saya tidak ingin membebankan orang lain
  2. orang itu tidak dapat membantu apa-apa
  3. walau ia dirahsiakan tidak akan memudaratkan sesiapa termasuk diri sendiri.


Selain itu saya juga padankan topik dengan orang yang ingin saya kongsikan cerita. Topik A mungkin sesuai diceritakan pada X namun tidak semestinya sesuai dikongsikan kepada Y. Ini kerana tahap penerimaan dan pengalaman setiap orang terhadap sesuatu perkara adalah tidak sama dan akan mempengaruhi penilaian mereka.

No comments:

Post a Comment